Sitemap Default Color Blue Green Red Small Default Size Big Reset Search
<img src="http://www.adobe.com/images/shared/download_buttons/get_flash_player.gif" alt="Get Adobe Flash player" />

TINJAUAN KEBANGSAAN KESIHATAN DAN MORBIDITI

(National Health and Morbidity Survey) 2015-2018:

NHMS 2017: TINJAUAN KESIHATAN DAN PEMAKANAN REMAJA

 

SOALAN-SOALAN YANG KERAP DITANYA OLEH MASYARAKAT UMUM (FREQUENTLY ASKED QUESTIONS)

  

1.

SOALAN

Apa yang dimaksudkan dengan NHMS ?

 

JAWAPAN

NHMS ialah satu kajian atau survey yang dijalankan oleh INSTITUT KESIHATAN UMUM, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan status kesihatan masyarakat di Malaysia. Maklumat yang diperoleh ini akan dikaji dan dinilai bagi meningkatkan lagi taraf perkhidmatan kesihatan di negara ini. NHMS dijalankan secara berkala mengikut keperluan semasa berdasarkan masalah kesihatan yang paling utama dan juga kumpulan sasaran. Bagi NHMS 2017, topik utama adalah tingkah laku berisiko yang menyebabkan masalah kesihatan dan amalan pemakanan dikalangan remaja di Malaysia.

     

2.

SOALAN

Bagaimana pemilihan sekolah dilakukan?

 

JAWAPAN

Pemilihan sekolah adalah berdasarkan rangka persampelan terkini yang diperolehi daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat (MARA). Kelulusan bagi menjalankan tinjauan sepanjang Februari sehingga Mei 2017 telah diperolehi daripada kedua-dua bahagian yang disebut seperti di atas.

     

3.

SOALAN

Apakah aktiviti yang dijalankan sepanjang tinjauan ini?

 

JAWAPAN

Tinjauan ini melibatkan pengumpulan data menggunakan 2 jenis borang soal selidik yang akan dijawab sendiri oleh pelajar, temuramah oleh Pegawai Sains Pemakanan tentang Kekerapan Pengambilan Makanan dan Ingatan Diet  24 jam untuk beberapa orang pelajar yang terpilih berjumlah seramai 10 orang atau kurang bagi mewakili setiap sekolah . Di samping  itu pengukuran berat dan tinggi juga akan dijalankan.

4.

SOALAN

Siapakah yang terlibat?

 

JAWAPAN

Semua pelajar yang terpilih mengikut kelas/ tingkatan di 313 buah sekolah di Malaysia. Secara umumnya, seramai 44,000 pelajar akan terlibat di seluruh Malaysia bagi menjawab borang soal selidik dan pengukuran berat dan tinggi, hanya lebih kurang 2000 pelajar akan ditemuramah oleh Pegawai Sains Pemakanan.

     

5

SOALAN

Siapa yang akan datang ke sekolah?

 

JAWAPAN

Pasukan pengumpul data yang terdiri daripada Penyelia Lapangan, Pegawai Sains Pemakanan, Ketua Pasukan dan 3 orang pengumpul data dengan kenderaan KKM atau kenderaan biasa yang mempunyai logo khas tinjauan ini.

Semua pegawai yang terlibat akan diberikan:

•          Tanda nama khas sebagai pengenalan diri, dan

•          Surat pengenalan diri bagi menjalankan tinjauan ini.

     

6.

SOALAN

Sekiranya saya tidak mahu menyertai tinjauan ini, bolehkah saya menarik diri dari ditemuramah?

 

JAWAPAN

Penyertaan anda dalam tinjauan ini adalah secara sukarela dan temuramah serta pemeriksaan kesihatan hanya dibuat selepas mendapat persetujuan daripada anda, namun demikian sumbangan anda dalam kajian ini dapat membantu KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA untuk merangka penambahbaikan dalam perkhidmatan yang disediakan.

     

7.

SOALAN

Apakah manfaat / faedah yang saya peroleh dengan menyertai tinjauan ini 

 

JAWAPAN

Maklumat yang diperoleh akan dapat membantu dalam meningkatkan lagi taraf perkhidmatan kesihatan dikalangan remaja serta menyediakan program khas yang bersesuaian bagi mengurangkan tingkah laku berisiko dan menggalakkan amalan pemakanan yang sihat dikalangan remaja.

     

8.

SOALAN

Adakah maklumat yang diperoleh akan dirahsiakan?

 

 

JAWAPAN

 

Maklumat peribadi yang diperoleh dalam tinjauan ini akan disimpan dan dikendalikan secara sulit, bersesuaian dengan peraturan-peraturan dan/atau undang-undang yang berkenaan. Semua maklumat akan hanya digunakan untuk tujuan kajian dan rujukan susulan sahaja.